Berita

1BestariNet: Pelajar jadi mangsa

Gambar hiasan
- Diterbit 13 September 2024 9:10 AM MYT

PERSATUAN Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM) mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan isu pendidikan sebagai punching bag (beg untuk tumbukan).

Timbalan Presidennya, Datuk Jemale Paiman berkata secara umum pencapaian Internet negara seharusnya diutamakan tetapi tidak perlu dipolitikkan.

Menurut beliau projek 1BestariNet sukar dilakukan atas beberapa faktor dan salah satunya capaian Internet.

“Nak cover sekolah satu Malaysia memang tidak boleh. Kalau secara berperingkat mungkin (boleh).

“Walaupun bertujuan baik untuk celik digital dan intelek, tetapi dengan keadaan Malaysia ini yang lautan luas, saya ingat masalah tidak boleh dicapai dengan cepat,” katanya.

Pada 2011, kerajaan memulakan projek 1BestariNet dengan matlamat menyediakan akses Internet berkelajuan tinggi kepada 10,000 sekolah di negara ini.

Namun pada tahun 2013, sekolah mula melaporkan masalah dengan kelajuan Internet dan sambungan serta banyak sekolah luar bandar tidak dapat memanfaatkan perkhidmatan itu susulan infrastruktur dan liputan lemah.

Jemale berkata negara ini merupakan antara yang terbaik dalam bidang pendidikan.

Beliau berkata peruntukan setiap tahun kepada Kementerian Pendidikan juga antara tertinggi berbanding kementerian-kementerian lain.

Bagaimanapun, untuk melaksanakan sesuatu projek seperti 1BestariNet perlu melihat kepada kemampuan guru dan sistem itu sendiri.

“Perlu melihat secara menyeluruh sebab dalam kemahiran digital, tidak semua golongan guru mempunyai kebolehan sama kecuali guru muda dan baru. Itu memang didedahkan dengan Internet.

“Kalau guru senior yang umur 40 dan 50 ke atas sukar dengan bekalan komputer yang tak cukup,” katanya.

Menurut Jemale, kalau dibandingkan dengan negara Afrika dan Asia Tenggara, Malaysia antara negara terbaik dalam sistem Internet.

Beliau berkata seharusnya pendidikan harus diutamakan agar pelajar-pelajar tidak menjadi mangsa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas