Berita

189,580 peminjam tak bayar PTPTN penerima STR

- Diterbit 21 November 2024 10:41 AM MYT

SERAMAI 189,580 peminjam yang belum membuat bayaran balik pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merupakan kumpulan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberitahu, jumlah itu bersamaan 45.7 peratus daripada keseluruhan 415,109 peminjam yang tidak pernah membuat bayaran balik, mengikut data yang dikumpul sehingga 31 Ogos tahun ini.

“Berdasarkan data peminjam yang tersedia, daripada keseluruhan 415,109 peminjam yang tidak pernah membuat bayaran balik sehingga 31 Ogos lalu, seramai 189,580 peminjam atau 45.7 peratus adalah kumpulan penerima STR,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Kementerian itu menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai jumlah peminjam PTPTN yang tidak pernah membuat sebarang pembayaran balik.

KPT menambah, selain itu seramai 225,529 peminjam atau 54.3 peratus merupakan bukan kumpulan penerima STR.

Jelasnya, PTPTN hanya mempunyai data peminjam yang diperoleh semasa peminjam membuat permohonan dan masih belum mempunyai pendapatan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas