DALAM usaha meningkatkan sumber marin dan merancakkan aktiviti penangkapan ikan di perairan pulau ini, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Labuan mengambil inisiatif melabuhkan sebanyak 18 bongkah besar unjam marinovasi di Perairan Pohon Batu.
Pelaksanaan program tersebut bagi mewujudkan habitat ikan yang tertumpu sekali gus memberikan manfaat kepada para nelayan khususnya di zon A.
LKIM dalam satu kenyataan berkata program Pembesaran Unjam Komuniti Persatuan Nelayan Labuan yang dijalankan baru-baru ini melibatkan peruntukan sebanyak RM230,000.
“Unjam merupakan variasi daripada tukun tiruan yang dibina menggunakan konkrit bertetulang besi. Unjam ini diketengahkan oleh LKIM sebagai usaha membantu golongan nelayan dalam menjalankan aktiviti penangkapan ikan.
“Unjam marinovasi ini mempunyai 18 modul yang diikat menggunakan tali, dilabuhkan di perairan Pohon Batu. Lokasi ini dipilih dengan mengambil kira kawasan ini merupakan tumpuan penangkapan bagi nelayan pesisir bot zon A.
“Lokasi tersebut telah mendapat persetujuan dan kelulusan daripada agensi-agensi terlibat iaitu Jabatan Perikanan Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan,” jelasnya.
Tambahnya, program yang mampu meningkatkan sumber marin di kawasan yang bersesuaian akan merancakkan lagi aktiviti tangkapan para nelayan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan mereka.
Katanya, para nelayan tidak perlu mengambil masa yang lama untuk mengenal pasti lokasi penangkapan apabila unjam tersebut menjadi kawasan tumpuan dan menjadi lokasi bersasar.
“Kawasan unjam yang menjadi habitat ikan seterusnya akan menjimatkan masa dan kos bagi nelayan turun ke laut untuk menangkap ikan,” katanya.
Sehubungan itu, LKIM menyeru kepada semua nelayan di pulau ini agar dapat menggunakan unjam-unjam sebaiknya serta menerima manfaat yang besar.
“Hasrat kerajaan melalui bantuan seperti ini adalah bagi memastikan golongan nelayan pesisir akan lebih berdaya saing dan mampu membela nasib mereka terutamanya dalam kalangan nelayan B40,” jelasnya. – WILAYAHKU