SEJUMLAH 171 aset milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melebihi usia 30 tahun melibatkan Tentera Darat, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Perkara itu dinyatakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menegaskan secara asasnya had usia guna aset-aset ketenteraan itu adalah berbeza mengikut fungsi masing-masing.
“Daripada jumlah itu, 108 unit aset melibatkan Tentera Darat diikuti 29 unit (TUDM) dan 34 unit (TLDM),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai berapa buah kapal laut, kapal selam, kereta kebal, helikopter dan pesawat milik ATM yang berusia lebih 30 tahun daripada usia pembuatannya.
Mengenai soalan kerugian kerajaan dan punca Kapal Diraja (KD) Pendekar karam pada Ogos lalu, katanya, Kementerian Pertahanan melalui TLDM telah menubuhkan Lembaga Siasatan Khas bagi menyiasat kemalangan yang menimpa kapal tersebut.
Menurutnya, ketika itu KD Pendekar sedang melaksanakan operasi di dua batu nautika tenggara Tanjung Penyusup, Johor.
“Walau bagaimanapun, perkara ini masih perlu diperhalusi dengan lebih lanjut melalui penyiasatan fizikal ke atas kapal setelah diapungkan kelak.
“Dalam hal ini, pihak TLDM sedang melaksanakan kerja salvaj ke atas kapal tersebut dan mengenal pasti serta memastikan kesemua peralatan di dalam kapal berada dalam keadaan baik dan tidak hilang,” katanya.
Beliau menambah, berdasarkan laporan terkini, kapal itu telah berjaya diapungkan dan kini berada di Yard Tanjung Belungkor.
Jelasnya, laporan lengkap mengenai punca kemalangan dan jumlah kerugian hanya boleh ditentukan setelah siasatan rapi selesai. – WILAYAHKU