BERDASARKAN laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi tahun lalu (NHMS 2023) mendedahkan seramai 11,724 orang atau 17 peratus penduduk di Labuan menghidap diabetis.
Ahli Dewan Negara, Senator Tan Sri Anifah Aman berkata lebih dari setengah juta atau 2.5 peratus (%) orang dewasa di Malaysia menghidap empat penyakit tidak berjangkit iaitu diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti.
“1 daripada 6 bersamaan 15.6% orang dewasa menghidap diabetes. Di Labuan pada tahun 2023, pesakit diabetes adalah seramai 11,724 orang atau 17% lebih tinggi dari data kebangsaan.
“Sementara 29.2% orang dewasa mengalami tekanan darah tinggi. Kes darah tinggi di Labuan pada tahun 2023 adalah 25.3% bersamaan 17,094 orang,” kata beliau kepada pemberita pada Karnival Labuan Sihat sempena Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) peringkat Labuan 2024.
Anifah berkata situasi semasa kesihatan terutamanya penyakit tidak berjangkit atau Non-Communicable Disease (NCD) di negara ini berada dalam keadaan membimbangkan dengan beban kewangan yang tinggi perlu ditanggung oleh kerajaan dalam rawatan pesakit.
“Oleh itu, penganjuran BMSS ini merupakan satu inisiatif di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) untuk merealisasikan hasrat kerajaan ke arah melahirkan rakyat Malaysia yang sihat sejahtera,” katanya. – WILAYAHKU