POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan penutupan penuh dan lencongan jalan di beberapa laluan utama sekitar Lembah Klang bermula 15 hingga 17 April 2025 bagi memberi laluan kepada lawatan rasmi Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping ke Malaysia.
Lawatan bersejarah ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan diplomatik dua hala Malaysia–China, dan akan melibatkan pergerakan rasmi delegasi kenamaan ke beberapa lokasi penting di ibu negara dan Putrajaya.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Komisioner Polis (CP) Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, sejumlah 17 laluan utama akan terlibat dalam penutupan sementara atau lencongan trafik yang dijangka berlangsung antara 30 hingga 45 minit setiap sesi pergerakan delegasi.
“Langkah ini penting bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan rombongan Presiden China sepanjang lawatan rasmi ke negara ini. Penutupan ini akan dilakukan secara berkala dan dibuka semula selepas delegasi melalui laluan berkenaan,” jelas beliau dalam kenyataan hari ini.
Mohd Yusri berkata bagi melaksanakan kawalan lalu lintas dan pengiringan orang kenamaan, JSPT akan mengatur penugasan seramai 378 pegawai kanan dan anggota polis trafik di pelbagai lokasi strategik termasuk lebuh raya, terowong dan jalan-jalan utama.
” Bermula 15 April 2025 (Selasa), pukul 6.00 petang, kawasan yang terlibat Lebuh KLIA; Lebuhraya ELITE; Lingkaran Putrajaya; Lebuhraya Putrajaya–Dengkil; Persiaran Selatan; Lebuh Gemilang dan Jalan P5.
“Pergerakan pada 16 April 2025 (Rabu), bermula pukul 9.30 pagi adalah melibatkan Jalan P5; Lebuh Gemilang; Persiaran Selatan; Lingkaran Putrajaya; Lebuhraya Putrajaya–Dengkil; Lebuhraya MEX; KESAS; SPE; SUKE; NPE; SMART Tunnel; Lebuhraya KL–Seremban; Jalan Istana; Jalan Damansara; Jalan Sultan Abdul Halim dan Jalan Sultan Iskandar, ” katanga.
Mohd Yusri turut memaklumkan, pergerakan seterusnya pada 16 April 2025 (Rabu), pukil 12.30 tengah hari melibatkan penutupan laluan seperti berikut.
“Jalan Sultan Abdul Halim; Jalan Sultan Iskandar; Jalan Damansara; Jalan Istana; Lebuhraya KL–Seremban; NPE; SUKE; SPE; KESAS; MEX; Lingkaran Putrajaya; Lebuhraya Putrajaya–Dengkil; Persiaran Selatan; Lebuh Gemilang dan Jalan P5.
” Pergerakan pada hari yang sama, 16 April 2025 (Rabu), pukul 4.10 petang adalah dari Jalan P5; Lebuh Gemilang; Jalan Tunku Abdul Rahman; Lebuh Sentosa; Lebuh Perdana Barat; dan Persiaran Seri Perdana, ” katanya.
“Selain itu, pergerakan pada 16 April 2025 (Rabu), pukul 6.30 petang, akan melibatkan penutupan Persiaran Seri Perdana; Lebuh Perdana Barat; Lebuh Sentosa; Jalan Tunku Abdul Rahman; Lebuh Gemilang dan Jalan P5, ” katanya.
Tambah Mohd Yusri, pergerakan pada 17 April 2025 (Khamis), pukul 8.50 pagi, penutupan atau lencongan melibatkan Jalan P5; Lebuh Gemilang; Persiaran Selatan; Lebuhraya Putrajaya–Dengkil; Lingkaran Putrajaya; Lebuhraya ELITE dan Lebuh KLIA.
Sehubungan itu, Mohd Yusri turut menasihatkan orang ramai untuk merancang semula perjalanan harian dan mengelakkan laluan yang dinyatakan sepanjang tempoh lawatan berlangsung.
“Kami menyeru kerjasama semua pengguna jalan raya agar mematuhi arahan petugas trafik di lapangan. Tindakan ini adalah sementara demi kelancaran dan keselamatan delegasi kenamaan negara,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat atas keprihatinan dan kerjasama dalam mematuhi langkah penguatkuasaan ini.-WILAYAHKU