Berita

1,600 penumpang sehari guna perkhidmatan ETS ke Arau dan Padang Besar

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 18 Disember 2024 2:00 PM MYT

DUA stesen ETS di Perlis iaitu Arau dan Padang Besar mencatatkan 490,105 penumpang dari Januari hingga Oktober dengan purata 1,600 penumpang sehari.

Bagi menjamin kecekapan dan keselamatan penumpang, Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah menjalankan kerja penyelenggaran dan baik pulih bagi memastikan tren elektrik berada pada tahap terbaik untuk operasi perkhidmatan ETS.

“Sebanyak 10 set tren elektrik ETS sedia ada sedang menjalani kerja penyelengaraan, baik pulih dan overhaul (MRO) tahap empat yang dijadualkan siap sepenuhnya pada suku keempat tahun depan.

“Ini bagi memastikan perkhidmatan tren berada pada tahap terbaik dan dipercayai. Kerja MRO tahap tiga dan empat akan diteruskan bagi baki 14 set tren ETS yang sedang beroperasi mulai suku pertama tahun depan,” menurut kenyataan bertulis MOT di Dewan Negara bagi menjawab pertanyaan Senator Baharuddin Ahmad.

Baharuddin meminta Menteri Pengangkutan menyatakan statistik bilangan penumpang tren ETS pada tahun ini
khususnya bagi destinasi ke Perlis dan apakah usaha untuk menambah baik perkhidmatan tren yang menjadi pilihan utama orang ramai terutama pada musim cuti sekolah dan perayaan.

Menurut MOT lagi, kerajaan juga telah membuat perolehan 10 set tren ETS baharu yang dijangka akan memulakan operasi pada suka pertama tahun depan.

“KTMB turut menyediakan tren tambahan di musim perayaan dan cuti sekolah khususnya bagi laluan KL Sentral – Padang Besar bagi memenuhi permintaan tinggi dari dan ke sektor utara setiap tahun.

“KTMB juga telah memperkenalkan kaedah pembelian tiket secara open payment, di mana pengguna mempunyai pilihan pembelian tiket secara tanpa tunai sama ada melalui kad kredit, kad debit mahupun pembayaran digital melalui aplikasi seperti e-wallet.

“Selain itu, KTMB turut menyediakan perkhidmatan koc kelas perniagaan kepada penumpang. Perkhidmatan kelas perniagaan ini adalah bagi laluan KL Sentral-Padang Besar sebanyak lapan perkhidmatan dan KL Sentral-Butterworth sebanyak enam perkhidmatan setiap hari,” menurut MOT dalam kenyataannya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas