Berita

1,500 penduduk BTR terima sumbangan Sempena Tahun Baru Cina

- Diterbit 26 Januari 2025 6:02 PM MYT

SERAMAI 1,500 orang daripada keluarga bertuah di Bandar Tun Razak yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan menerima sumbangan sempena Sambutan Tahun Baru Cina.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata usaha itu digerakkan oleh Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak untuk membantu sedikit banyak dalam persiapan menyambut perayaan.

“Telah menjadi amalan kami untuk kumpulkan sumbangan dan diberikan kepada golongan yang memerlukan sewaktu sambutan setiap perayaan di negara kita.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sumbangan Sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Naam Kheung pada pagi ini.

Menurut Wan Azizah, semalam beliau telah berpeluang hadir memeriahkan Sambutan Pesta Ponggal bersama Masyarakat India di Bandar Tun Razak dan menyempurnakan Karnival Kesihatan MADANI.

Beliau berkata banyak manfaat melalui sumbangan dan penyediaan perkhidmatan terus kepada masyarakat dapat dilaksanakan di Parlimen Bandar Tun Razak.

“Penganjuran Majlis Penyerahan Sumbangan sempena Tahun Baru Cina yang diadakan pada hari ini adalah bukti kita mempunyai toleransi yang tinggi dan saling memahami serta menghormati antara satu sama lain.

“Kami di Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak sentiasa melaksanakan pelbagai program untuk kebaikan dan kebajikan warga Bandar Tun Razak,” katanya.

Tambah Wan Azizah, Tahun Baru Cina pada kali ini disambut dalam kemeriahan cuti persekolahan.

Beliau yakin golongan kanak-kanak merupakan yang paling gembira sekali setiap kali tiba musim perayaan.

“Saya menyeru agar para ibu bapa dan penjaga sentiasa memastikan kebajikan dan keselamatan anak-anak masing-masing.

“Luangkan masa bersama mereka dalam kesibukan kita bekerja. Selain itu, amalkan gaya hidup sihat, jaga pemakanan dan jangan merokok,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas