SERAMAI 1,500 asnaf dan fakir miskin di pulau ini menerima sumbangan wang zakat membabitkan peruntukan sejumlah RM300,00 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi Program Nur Ramadan anjuran bersama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Perbadanan Labuan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, sumbangan Nur Ramadan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan pada tahun ini daripada MAIWP berjumlah RM1.1 juta.

Katanya penyerahan bantuan dalam bentuk wang tunai berjumlah RM200 bagi setiap penerima.
“Daripada jumlah keseluruhan peruntukan sumbangan Nur Ramadan 2025 ini, sebanyak RM300,000 diagihkan kepada 1,500 orang asnaf dan fakir miskin di Labuan,” katanya semasa berucap di Majlis Nur Ramadan di perkarangan Masjid Annur Rahim Kampung Sungai Buton, semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Mohd Sukuran Taib.
Pada majlis itu, seramai 300 asnaf termasuk anak yatim, warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang kurang berkemampuan menerima sumbangan berkenaan.
Manakala selebihnnya akan menerima agihan sumbangan itu secara berperingkat.
Dr Zaliha berkata pemilihan penerima sumbangan dipilih melalui senarai asnaf yang berdaftar dengan MAIWP, sistem eKasih dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Katanya, JWP turut menyediakan peruntukan sebanyak RM75,000 bagi setiap Wilayah Persekutuan untuk penyediaan juadah berbuka puasa dan moreh bagi program Nur Ramadan.
Selain itu, pada majlis sama, Surau Annur Rahim Kampung Sungai Buton turut menerima sumbangan khas sebanyak RM5,000 bagi membantu menaik taraf fasiliti surau berkenaan. – WILAYAHKU.