MAJLIS Perwakilan Penduduk Parlimen Cheras Zon 3 hari ini menganjurkan Program Kempen Kesedaran Jalan Raya dan pengedaran topi keledar Madani kepada pelajar tingkatan 4 dan 5.
Menurut Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai sebanyak 10 buah sekolah menengah di Cheras menerima topi keledar itu bagi memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar-pelajar.
Beliau berkata program itu adalah yang pertama kali dianjurkan oleh Parlimen Cheras.
“Kempen hari ini adalah penting kerana kesedaran keselamatan jalan raya di Malaysia ini khususnya dalam kalangan remaja-remaja masih rendah.
“Kempen ini merupakan satu pendidikan yang membina dan baik untuk mengingati orang ramai supaya mengadakan sikap pemanduan yang berhemah, bertimbang rasa serta mementingkan keselamatan diri dan orang lain ketika menggunakan jalan raya,” katanya ketika ditemui dalam program itu di Institut DBKL (IDB).
Turut hadir dalam program itu adalah Asisten Superintendan (ASP) Mohd Azhar Abdul Aziz daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM Kuala Lumpur.
Tambahnya lagi, kempen itu dibuat bukan hanya semata-mata untuk memberikan topi keledar Madani secara percuma tetapi sebaliknya ingin mendidik mereka.
Beliau berkata ini kerana jika dilihat kadar kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal sangat tinggi.
“Bagi tahun 2023, ada hampir 600,000 kejadian kemalangan jalan raya di Malaysia dan kadar kematian sangat tinggi iaitu 6,443 kematian.
“Daripada angka itu, 65% merupakan kematian penunggang motosikal,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata disebabkan itu Majlis Perwakilan Penduduk Parlimen Cheras ingin menyumbang topi keledar Madani itu.
Beliau juga menasihatkan ibu bapa tidak membenarkan anak-anak mereka membawa motosikal tanpa memakai topi keledar.
“Ini bukan budaya sihat dan selamat. Perkara itu harus dielakkan.
“Kalau kita nak selamatkan nyawa dan elakkan tragedi di jalanraya perlu mempastikan pelajar-pelajar itu menggunakan topi keledar dan mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.
Menurut Tan lagi, kempen seperti itu akan diadakan lagi pada masa akan datang dalam memupuk pelajar-pelajar memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.
“Kalau ada zon lain yang ingin anjurkan kempen seperti ini, saya beri galakkan,” katanya. – WILAYAHKU