KURSUS Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui tajaan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) telah berjaya membantu belia-belia Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur dan dari kampung-kampung di Labuan menamatkan kursus Sijil Gas Pipe Fitting baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Dr Abdul Basir V. Kunhimohamed berkata terdapat 13 pelatih yang berjaya menamatkan latihan dan lulus penilaian baru-baru ini dan dianugerahkan Sijil Kecekapan Kemahiran CIDB yang mengiktiraf mereka sebagai pekerja mahir yang seterusnya diberi penempatan kerja.
“YWP telah bekerjasama dengan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Utara untuk memberikan kursus kemahiran jangka pendek dalam bidang teknikal dan vokasional.
“Pelatih yang mengikuti kursus pensijilan ini akan terjamin dari segi penempatan kerja dengan pelbagai agensi yang berkaitan,” katanya pada Majlis Sesi Penyerahan Sijil Tamat Kursus Akademi Binaan Malaysia (ABM) baru-baru ini.
Abdul Basir berkata YWP sedia maklum bahawa TVET digariskan sebagai ‘Meningkatkan Pembangunan Modal Insan untuk Negara Maju’ yang bermatlamat menghasilkan modal insan berpengetahuan, berkemahiran dan sikap yang bersesuaian untuk berjaya dalam ekonomi global.
“Bagi pihak YWP, kami percaya setiap peluang untuk meningkatkan taraf hidup khususnya melalui pendidikan, jika tidak dibantu atau disokong akan menyukarkan perjalanan seseorang itu untuk mencapai kejayaan.
“YWP telah menanggung kos perbelanjaan sebanyak RM170,000 meliputi tajaan kursus kemahiran, teknikal, vokasional dan logistik pada kali ini.
“Ini menunjukkan komitmen kami dalam memberikan peluang kepada warga Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan pendidikan dan latihan yang berkualiti,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Basir turut merakamkan penghargaan kepada tenaga pengajar dari ABM yang telah memberikan dedikasi dan komitmen yang luar biasa dalam membimbing pelatih sepanjang kursus ini.
“Tanpa bimbingan dan sokongan anda semua, kejayaan ini tidak mungkin dapat dicapai.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelatih yang telah berjaya menamatkan kursus dan semoga cemerlang di tempat kerja baru anda. Semoga dengan kejayaan ini akan menjadi pemangkin semangat untuk menaik taraf kehidupan anda dan keluarga,” ujarnya.
Terdahulu, seramai 13 pelatih tajaan YWP telah diraikan dalam Sesi Penyerahan Sijil Tamat Kursus Akademi ABM bertempat di ABM Wilayah Utara pada 10 Oktober 2024. – WILAYAHKU