Berita

126 sampel makanan tercemar

- Diterbit 8 April 2024 12:45 PM MYT

SEPANJANG bulan Ramadan 2024, Unit Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (JKAS DBKL) mengambil sebanyak 1,060 jenis sampel makanan dari pelbagai bazar sekitar Kuala Lumpur.

Menurut DBKL, rekod tersebut dicatatkan hasil daripada pengambilan sampel makanan setakat 29 Mac lalu dan ia dikumpul berdasarkan pemantauan tahap kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual di Bazar Ramadan.

“Kesemua sampel makanan itu dihantar ke Makmal Pusat Analisis dan Sekuriti Makanan (FOSAC) JKAS, DBKL yang terletak di Pasar Borong Kuala Lumpur.

“Hasil daripada analisis itu mendapati, sebanyak 126 atau 11.9 peratus sampel makanan bazar Ramadan telah dicemari oleh kuman.

“Ekoran daripada itu, DBKL telah mengeluarkan sebanyak 82 kompaun dan notis kepada peniaga bazar yang didapati melanggar undang-undang di bawah UUK 6(1) Undang-Undang Pengendali Makanan WPKL (1979) iaitu 6(1) di mana tiada sesiapa yang dibenarkan menjual apa jua makanan yang kotor atau mengandungi jirim asing,” jelas DBKL.

Menurut DBKL, pemantauan tahap kesihatan dan keselamatan ini dilaksanakan berdasarkan tiga strain bakteria utama iaitu E.Coli, Coliform dan Staphylococcus.

“Ia merupakan petunjuk terhadap pengendalian sepanjang proses makanan disiapkan di mana kehadiran bakteria ini juga berkait rapat dengan proses penyediaan makanan yang tidak bersih, dimasak tidak sempurna termasuk kebersihan diri pengendali makanan yang tidak memuaskan.

“Sementara itu, DBKL juga telah memeriksa 2,404 peniaga dan turut mengenakan kompaun serta notis pelbagai jenis kesalahan.

“Kompaun dan notis dikeluarkan atas kesalahan UUK Pengendalian Makanan 1979 dan UUK Pelesenan Penjaja WPKL (2016) susulan kebanyakan peniaga didapati tidak mengambil suntikan vaksin typhoid untuk menegendalikan makanan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas