SERAMAI 125 sukarelawan yang terdiri daripada warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyertai Skuad Ihsan MADANI bagi misi bantuan pasca banjir.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata KPKT akan memberi tumpuan kepada kerja pembersihan kawasan yang terjejas dengan bencana banjir dalam memastikan kerja-kerja pembersihan pasca banjir diberi keutamaan.
“Usaha-usaha yang dilakukan oleh KPKT ini merupakan amanah yang diberikan oleh Perdana Menteri bagi membantu semua mangsa banjir tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Sementara itu, KPKT dalam kenyataannya berkata Skuad Ihsan MADANI merupakan cetusan idea Ketua Setiausaha Negara dan telah ditubuhkan pada 30 November 2024 untuk menyelaras gerak kerja penjawat awam dalam penugasan sukarelawan banjir.
“KPKT telah diberi tanggungjawab untuk menyelaras bantuan bagi Zon Tengah iaitu Negeri Selangor bersama-sama Kementerian Ekonomi.
“Mobilisasi pasukan dijangka akan bermula pada 15 Disember 2024 selepas ramalan gelombang kedua (8 hingga14 Disember 2024) tamat,” katanya.
Tambahnya pasukan sukarelawan ini digerakkan untuk memberi bantuan dalam aspek-aspek pembersihan, penghantaran bantuan makanan dan bantuan lain yang bersesuaian.
“Kekuatan bagi Skuad Ihsan MADANI peringkat KPKT adalah sebanyak tujuh buah jentera termasuk dua tong sampah roro, tiga buah kenderaan Compact Fire Rescue Tender (CFRT) serta sebuah lori lima tan dan pacuan empat roda.
“Misi kesiapsiagaan pasca banjir akan dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dalam aspek penyediaan jentera peralatan serta sukarelawan.
“KPKT akan terus komited dalam meringankan beban mangsa banjir sebagai tanda solidariti dalam menghadapi cabaran pasca banjir,” katanya. – WILAYAHKU