Berita

12 pusat indoktrinasi, penderaan mental ahli GISBH dikenal pasti

- Diterbit 3 Oktober 2024 5:07 PM MYT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti 12 pusat kuarantin yang dipercayai dijadikan tempat indoktrinasi dan penderaan mental terhadap ahli GISBH di dalam dan luar negara.

Perkara itu didedahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dengan siasatan lanjut mendapati 10 daripadanya terletak di negara ini manakala dua lagi di Indonesia dan Turkiye.

Menurut beliau, ia hasil pendedahan yang dimuat naik akaun Facebook Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS).

“Tiga pusat kuarantin itu telah kita serbu pada 21 September lalu manakala tujuh lagi didapati tidak beroperasi.

“Tiga yang diserbu itu adalah di Air Bintan, Kota Tinggi; Labu Lanjut, Sepang dan Batu Hampar, Perak,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Razarudin memberitahu, walau bagaimanapun dalam serbuan itu polis tidak menemukan elemen-elemen ia dijadikan pusat kuarantin.

Dalam perkembangan lain, beliau menambah, polis telah membekukan 206 akun berkaitan organisasi itu yang dianggarkan bernilai RM1.35 juta.

Katanya, tindakan pembekuan akaun dan harta berkaitan GISBH diambil mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613).

“Selain itu, kita turut membekukan pelbagai aset iaitu 31 kereta dan bas pelbagai guna serta 19 lot tanah. Sebanyak 19 kereta dan sebuah lori, wang tunai RM16,850, dua jam tangan jenama dianggarkan bernilai RM600 serta pelbagai jenis haiwan dianggarkan bernilai RM230,000 turut disita,” katanya.

Katanya, tindakan penyitaan dibuat mengikut Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas