Berita

12 pemilik rumah Kampung Sungai Baru, Kampong Bharu sudah terima bayaran pampasan tambahan

Foto: BERNAMA
- Diterbit 3 Disember 2024 2:05 PM MYT

11 permohonan daripada pemilik unit flat Kampung Sungai Baru, Kampong Bharu telah diberi tambahan bayaran pampasan sebanyak RM18,000 hingga RM24,000 seunit berdasarkan perintah penghakiman persetujuan (penyelesaian luar mahkamah).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata jumlah tersebut merupakan tambahan bayaran kepada tawaran pampasan keseluruhan yang ditawarkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) kepada pemilik hartanah berkenaan.

“Nilai pampasan unit terbabit di antara RM244,000 hingga RM356,000 dan pemohon telah setuju dengan tawaran peningkatan lebih kurang 10 peratus daripada nilaian hartanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan.

“Keseluruhan tambahan bayaran pampasan berjumlah RM200 ribu telah diserahkan kepada pemohon-pemohon terlibat. Manakala, baki bagi dua permohonan lagi masih dalam tindakan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) berhubung status rayuan tuntutan pampasan yang lebih adil oleh kumpulan minoriti yang menolak tawaran pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Bharu Kuala Lumpur yang sebelum ini telah diberikan pampasan oleh pemaju di peringkat awal.

Menurut Zaliha, bagi lot teres pula, satu permohonan telah dibicarakan pada Mei 2024 dan mahkamah memutuskan tambahan bayaran pampasan sebanyak RM69,000 atau lebih kurang 8 peratus daripada award hartanah JKPTG WPKL berjumlah RM874 ribu.

“Manakala, baki bagi 61 permohonan melibatkan pemilik lot teres ini masih dalam tindakan pihak AGC,” katanya.

Zaliha menjelaskan bahawa tawaran usaha sama di antara pemilik dan pemaju adalah berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama tanpa paksaan, tekanan atau desakan merangkumi pulangan usaha sama iaitu unit gantian, kos pindah keluar dan masuk, insentif persetujuan usaha sama, ex-gratia ubahsuai rumah sedia ada dan bayaran sewaan sementara.

“Ditegaskan di sini bahawa, pemilik yang bersetuju dengan tawaran usaha sama akan mendapat nilai masa depan (future value), manakala penentuan tawaran pampasan pengambilan tanah adalah berlandaskan perundangan di dalam APT 1960 dan lain-lain peraturan berkaitan dengan nilai pasaran semasa (market value),” katanya.

Beliau berkata proses pengambilan tanah berdasarkan Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) bagi 110 unit yang melibatkan 37 lot teres, 72 unit flat dan 1 lot pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah selesai sepenuhnya tahun lalu, iaitu pada Ogos 2023.

“Bayaran pampasan ke atas pengambilan tanah juga telah diberikan oleh JKPTG WPKL kepada pihak berkepentingan secara berperingkat pada Februari 2022 hingga Januari 2023.

“JKPTG WPKL telah menerima 75 permohonan Borang N(Permohonan Supaya Bantahan Dirujukkan Kepada Mahkamah), Seksyen 38 Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 melibatkan 13 permohonan daripada unit flat dan 62 permohonan daripada lot teres.

“Permohonan ini adalah berkenaan bantahan jumlah tawaran pampasan pengambilan tanah yang telah ditawarkan oleh JKPTG WPKL selaras Seksyen 37 (1) APT 1960 yang menyatakan bahawa mana-mana orang yang berkepentingan ke atas mana-mana tanah yang diambil boleh membuat bantahan ke mahkamah,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas