Berita

12.4 juta pergerakan penumpang pada Julai 2024, tertinggi sejak pascapandemik – MAHB

Foto: BERNAMA
- Diterbit 19 Ogos 2024 4:21 PM MYT

MALAYSIA Airports Group mencatatkan 12.4 juta pergerakan penumpang pada Julai 2024, peningkatan 7.3 peratus berbanding bulan sebelumnya sekali gus sebagai paras tertinggi bulanan baharu pascapandemik.

Katanya pertumbuhan itu sebahagian besarnya dipacu oleh lapangan terbang tempatan yang merekodkan 8.5 juta pergerakan penumpang, terdiri daripada 4.5 juta penumpang antarabangsa dan 4.0 juta penumpang domestik.

Kumpulan itu dalam kenyataan hari ini berkata keadaan ini menyumbang peningkatan 8.0 peratus bulan ke bulan berbanding sehingga Jun 2024.

Sementara itu, katanya Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen yang juga asetnya di Turkiye mencatat 3.9 juta pergerakan penumpang pada Julai 2024, menunjukkan peningkatan 6.0 peratus berbanding bulan sebelumnya.

“Tempoh percutian musim panas, di samping pengenalan laluan baharu dan kekerapan penerbangan tambahan, menyumbang kepada paras tertinggi tahunan baharu bagi pergerakan penumpang antarabangsa, yang mencecah hampir 2.0 juta, peningkatan 9.0 peratus berbanding Jun 2024.

“Pergerakan penumpang domestik turut menokok kepada 1.9 juta, meningkat 3.0 peratus bulan ke bulan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas