Berita

113 individu terlibat dalam pemerdagangan orang ditahan dalam Ops Mega Pintas – PDRM

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 20 Jun 2024 7:33 PM MYT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan 113 individu terdiri daripada warga tempatan dan asing yang disyaki terlibat dalam aktiviti pemerdagangan orang dalam 33 serbuan yang dilakukan di seluruh negara pada 12 Jun lepas dalam Ops Mega Pintas.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman DCP Fadil Marsus berkata dalam operasi itu, 73 mangsa diselamatkan, masing-masing 25 lelaki, 26 perempuan dan 22 kanak-kanak.

“Mangsa itu terdiri daripada warganegara tempatan, Filipina, Indonesia, Bangladesh, Kemboja, Myanmar serta Thailand dan diselamatkan mengikut Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).

“Selain itu, pasukan serbuan juga berjaya menyelamatkan tiga Orang Kurang Upaya berusia 38 hingga 44 tahun masing-masing seorang wanita dan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam eksploitasi seks dan buruh paksa,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12 dan 14 Akta ATIPSOM 2007, Seksyen 55b, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Per. 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Fadil berkata PDRM memandang serius terhadap aktiviti jenayah pemerdagangan orang dan tindakan tegas akan dilaksanakan terhadap mana-mana individu dan kumpulan yang melakukan jenayah ini.

“PDRM juga mengalu-alukan kerjasama masyarakat sekiranya mempunyai maklumat tentang jenayah pemerdagangan orang dan sebarang maklumat boleh disalurkan ke mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.

Sementara itu, Fadil turut menyeru majikan dan peniaga yang menggaji pekerja warga asing atau tempatan untuk lebih peka supaya mereka tidak melakukan eksploitasi pekerjaan.

“Antara indikator wujudnya eksploitasi pekerjaan ialah menggaji orang bawah umur, melakukan buruh paksa, penghambaan hutang, ancaman ugutan, penahanan dokumen pengenalan diri, sekatan pergerakan selain tempat kerja dan tempat tinggal yang tidak kondusif,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas