DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan RM2.66 bilion bagi Belanjawan 2024 menerusi 11 program utama bagi merealisasikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya sejahtera untuk semua.
Belanjawan yang yang bertemakan Aspirasi Madani, Bandar Raya Lestari menyaksikan sejumlah RM2.01 bilion atau 75.6 peratus diperuntukkan untuk mengurus dan RM650 juta (24.4 peratus) bagi pembangunan ibu kota.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh berkata secara keseluruhannya, belanjawan tersebut memperlihatkan peningkatan sebanyak 2.13 peratus berbanding Belanjawan tahun 2023 yang memperuntukkan sebanyak RM2.6 bilion.
“Kita terpaksa buat penambahan sedikit peruntukan kerana kos perbelanjaan semakin tinggi terutama pembangunan seperti pembinaan jambatan dan baiki bangunan,” katanya dalam sidang media Pembentangan Belanjawan DBKL 2024 pada Rabu.
Belanjawan DBKL 2024 antaranya merangkumi jalan raya dan saliran berjumlah RM317 juta; pengurusan dan pentadbiran (RM418 juta); perumahan awam dan rakyat (RM228 juta) dan pembersihan bandar (RM220 juta).
Kamarulzaman berkata pihaknya akan memastikan Perumahan Awam dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah seliaannya lebih selesa dan turut memperuntukkan sejumlah RM228.1 juta.
“DBKL juga akan meneruskan pembinaan enam lagi Council Home iaitu di Jalan Semilang/ Jalan Siakap, Taman Desa (1), Taman Desa (2), Sungai Besi, Tasik Permaisuri dan Kuarters DBKL Sentul dengan peruntukan pembangunan sebanyak RM125 juta,” ujarnya.
DBKL juga menyediakan RM82.3 juta untuk pengurusan penjaja dan peniaga kecil bagi menaik taraf fasiliti gerai-gerai di sekitar ibu kota kepada fasiliti yang lebih kondusif dan selesa.
Bagi mempertingkatkan sistem saliran dan perparitan, projek mitigasi banjir dan tebatan banjir di sekitar ibu negara, Kamarulzaman berkata belanjawan itu menyediakan sebanyak RM170.5 juta.
Selain itu, bagi mempersiapkan kedatangan Tahun Melawat Malaysia 2025, DBKL turut memperuntukkan sejumlah RM21.63 bagi menggalakkan dan mempromosikan produk pelancongan Kuala Lumpur.
Sementara itu, beliau memaklumkan DBKL kini mengambil pendekatan baharu untuk mengimbangi belanjawan defisit 2024 yang berjumlah RM275.9 juta melalui penjanaan hasil baharu.
“Salah satu daripadanya adalah dengan mengenakan cas RM1 bagi setiap perjalanan menggunakan bas GOKL kepada pengguna bukan warganegara Malaysia bermula 1 Januari 2024.
“DBKL turut memperkasakan kaedah mengutip tunggakan hasil seperti pembayaran ansuran tunggakan cukai taksiran melalui kad kredit tanpa faedah, pelaksanaan task force kutipan tunggakan sepanjang tahun dan penguatkuasaan,” katanya. – WILAYAHKU