Berita

11 kawasan di KL terjejas akibat hujan lebat

BEBERAPA kawasan di sekitar ibu negara mengalami banjir kilat. Foto: FB KLCCC DBKL
- Diterbit 15 Oktober 2024 2:02 PM MYT

SEBANYAK 11 kawasan terjejas akibat hujan lebat yang melanda Kuala Lumpur sekitar pukul 8.30 pagi tadi.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata hujan lebat dan berterusan telah menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air ekoran limpahan sungai–sungai utama iaitu Sungai Batu, Sungai Klang dan Sungai Gombak.

“Antara kawasan yang terjejas adalah Jalan Pantai Baharu; Jalan Parlimen (Bulatan Dato’ Onn) dan Jalan Kinabalu; Jalan Maharajalela; Jalan Travers; Jalan Damansara (Bawah jejambat Semantan); Jalan Ledang; Jalan Segambut; Jalan Genting Klang (berhadapan Shell); Jalan Genting Klang (berhadapan UTAR); Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Sultan (Petaling Street).

“Kejadian tersebut berpunca daripada taburan hujan yang sangat tinggi iaitu melebihi 60 mm per jam di mana bacaan hujan di stesen hujan pusat bandar adalah melebihi 114 mm per jam,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambahnya, petugas DBKL telah dikerah ke lapangan bagi memastikan situasi di kawasan tersebut dalam keadaan terkawal.

“Kerja-kerja yang dijalankan adalah seperti penyuraian trafik bagi membantu melancarkan pergerakan aliran trafik. Setakat pukul 10.45 pagi, semua laluan utama di pusat bandar telah dibuka kecuali di Jalan Rahmat ditutup satu hala. Pihak DBKL juga mengaktifkan dua buah pam statik di Jalan Sultan Azlan Shah,” ujarnya.

Untuk rekod, lokasi di sekitar Bulatan Dato Onn telah dinaiki air dan DBKL telah membawa masuk tiga buah pam mudah alih bagi menyedut air yang bertakung. Keadaan kembali normal sekitar pukul 9.18 pagi.

Kerja-kerja pembersihan di sekitar Jalan Parlimen telah selesai dilaksanakan oleh DBKL manakala kerja-kerja pembersihan di Jalan Sultan masih dijalankan.

Berdasarkan tindakan proaktif yang telah diambil DBKL, majoriti kawasan yang terlibat dapat dikawal dan air yang bertakung telah surut dalam tempoh 30 minit.

Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati apabila hendak melalui kawasan yang masih belum surut sepenuhnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas