SEBANYAK 1,085 kes kejadian pokok tumbang telah direkodkan menerusi laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bermula Januari sehingga April tahun ini.
Menteri Pembangunan dan Kerajaan tempatan, Nga Kor Ming berkata kekerapan insiden pokok tumbang sepanjang tahun 2023 adalah berjumlah 4,828 kes di seluruh negara.
“Bilangan kes tertinggi direkodkan di negeri Selangor, 953 kes, diikuti negeri Perak, 575 kes, dan negeri Johor, 523 kes,” katanya.
Kor Ming berkata pihaknya menggalakkan orang awam untuk bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkenaan bagi memaklumkan dan mendapatkan khidmat sokongan yang bersesuaian sekiranya terdapat kes-kes pokok yang mendatangkan bahaya dan memerlukan tindakan segera.
“Mangsa yang terlibat dengan kemalangan akibat pokok tumbang boleh mengemukakan permohonan pampasan bagi tuntutan ganti rugi melalui pihak PBT.
” Walau bagaimanapun, setiap tuntutan yang dikemukakan masih tertakluk kepada keputusan siasatan yang akan dijalankan oleh pihak insuran yang dilantik oleh PBT masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) di parlimen Khamis lalu.
Menurut Kor Ming, Kerajaan MADANI kekal komited dan fokus dalam usaha-usaha membangunkan kawasan perbandaran yang mampan dan lestari alam.
“Selaras dengan Dasar Landskap Negara (DLN) untuk menjadikan Malaysia Negara Taman Terindah, pembangunan dan pengurusan landskap yang komprehensif, berfungsi, selamat serta kaya biodiversiti bandar terus menjadi keutamaan bagi merealisasikan aspirasi Kerajaan MADANI demi kesejahteraan rakyat.
“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Landskap Negara (JLN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara telah melaksanakan Program Penghijauan Negara dengan menanam pokok-pokok teduhan bagi menyediakan kawasan perbandaran yang berdaya huni, teduh, menerapkan aspek terapi, indah serta bagi menangani impak daripada perubahan iklim,” katanya.
Katanya, bagi meningkatkan keberkesanan perancangan, rekabentuk dan pengurusan pokok-pokok teduhan dalam bandar, KPKT melalui JLN telah melancarkan buku 200 Malaysia’s Native Trees for Street Planting pada 26 Mei 2024 bersempena Hari Landskap Negara sebagai panduan penanaman dan pemilihan pokok pinggiran jalan bagi menangani isu berkaitan kegagalan pokok.
“Buku ini adalah sebagai panduan dalam menyediakan penyelesaian praktikal bagi pemilihan pokok untuk pelbagai hierarki jalan dengan menggunakan spesies pokok asli (native).
“Pokok yang dicadangkan ini memenuhi kriteria kesesuaian spesies pokok teduhan pinggiran jalan dan dapat beradaptasi dengan ekosistem bandar.
“Buku ini juga mengandungi kaedah, panduan dan amalan terbaik dari aspek perancangan, pemilihan kesesuaian spesies, kaedah penanaman serta pengurusan khusus bagi pokok teduhan pinggiran jalan,” katanya. – WILAYAHKU