Berita

108 kanak-kanak diselamatkan dalam Op Global alami kecelaruan kognitif

- Diterbit 15 Oktober 2024 5:55 PM MYT

SERAMAI 108 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global membabitkan GISBH mengalami masalah kecelaruan kognitif yang sederhana dan teruk.

Mereka merupakan kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas daripada seramai 385 orang yang menjalani penilaian kognitif awal.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga da Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, daripada jumlah itu, 20.26 peratus atau 78 orang mengalami masalah kecelaruan kognitif sederhana manakala 7.79 peratus (30 orang) pula menunjukkan kecelaruan kognitif teruk.

“Setakat 13 Oktober lalu, profiling awal telah dijalankan ke atas 558 kanak-kanak yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Sebanyak 56.3 peratus daripada mereka mengaku pernah bersekolah sama ada di sekolah kebangsaan, sekolah aliran agama kerajaan, sekolah agama ataupun pusat yang dikendalikan entiti tersebut mahupun di tempat mereka tinggal,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian pada sesi Penerangan Menteri berkaitan isu GISBH.

Nancy berkata, dari segi maklumat keluarga, 94.3 peratus daripada mereka mengaku masih mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa kandung.

Selebihnya kata beliau, tidak mempunyai ibu bapa atau tiada maklumat mengenai ibu bapa.

Katanya, sehingga semalam, seramai 560 orang kanak-kanak, iaitu 283 kanak-kanak lelaki dan 277 kanak-kanak perempuan sedang ditempatkan di tempat-tempat
selamat.

Ini jelasnya, setelah JKM mendapat perintah jagaan sementara oleh mahkamah bagi tempoh dua bulan mengikut peruntukan Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Pada masa ini mereka masih diperlukan untuk siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.

“Walau bagaimanapun matlamat akhir kita di kementerian bagi penempatan dan penjagaan kanak-kanak terlibat adalah kembali ke pangkuan keluarga.

“Namun sebelum ia boleh direalisasikan, pelbagai perkara perlu dinilai dan dipertimbangkan,” katanya.

Beliau menegaskan, ia bukanlah untuk menidakkan hak mana-mana pihak tetapi demi kepentingan terbaik kanak-kanak itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas