Berita

108 kafe diiktiraf Kafeteria Sihat

- Diterbit 20 Disember 2024 9:15 AM MYT

SEBANYAK 108 kafe telah diiktiraf sebagai Kafeteria Sihat di seluruh negara melibatkan fasiliti kerajaan, agensi kerajaan, swasta serta institut pengajian tinggi.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), ia sebagai pengiktirafan kepada premis makanan yang menjual makanan atau minuman berkhasiat di samping mematuhi prinsip amalan kebersihan dan keselamatan makanan yang baik.

“Bagi mendapatkan pensijilan Kafeteria Sihat, operator kafe dikehendaki memaparkan nilai kalori makanan yang dijual, yang mana komponen paparan kalori merupakan salah satu kriteria pemarkahan dalam pengiktirafan Kafeteria Sihat,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.

KKM menjawab soalan Senator Datuk Seri SV Vell Paari mengenai komitmen kerajaan dalam usaha memperkenal gaya hidup sihat khususnya pendedahan jumlah kalori di premis-premis makanan.

Kementerian itu menambah, pihaknya juga memperkenal program pengiktirafan MyMeal dan Logo Pilihan Lebih Sihat atau Healthier Choice Logo (HCL)-Healthier Dining Program yang turut menetapkan penjualan makanan dalam kalori yang terkawal iaitu tidak melebihi 500kcal.

Katanya, di bawah HCL-Healthier Dining Program, senarai kalori makanan dan minuman dipaparkan pada kad menu, papan menu, risalah menu dan self-ordering kiosk (SOK).

“Tujuannya adalah agar pelanggan cakna tentang pengambilan kalori makanan mereka.

“Premis makanan dan menu yang mematuhi kriteria pengiktirafan Kafeteria Sihat, MyMeal dan HCL-Healthier Dining Program akan diberi sijil pengiktirafan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.

KKM memberitahu, senarai premis makanan yang telah mendapat pengiktirafan Kafeteria Sihat dan MyMeal boleh didapati melalui laman sesawang Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu https://hq.moh.gov.my/nutrition. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas