SEBANYAK 1,058 notis kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) menerusi empat siri Operasi Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri di sekitar ibu kota baru-baru ini.
Pengarah JPJ WPKL, Mohd Zaki Ismail berkata notis itu dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 2,144 kenderaan pada 20 hingga 21 dan 24 hingga 25 April lalu melibatkan beberapa kesalahan seperti lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans.
“Bagi kesalahan lesen memandu, ia dikenakan kepada pengguna jalan raya yang tiada lesen memandu, pengguna tamat tempoh lesen memandu dan tidak mempamerkan tanda pengenalan ‘P’.
“Selain itu, notis itu turut diberikan kepada pengguna melibatkan LKM dan insurans telah tamat tempoh melebihi satu bulan serta pengubahsuaian motosikal di bawah Seksyen 59 APJ 1987,” jelas beliau.
Mohd Zaki berkata, ketika operasi tersebut, JPJ WPKL turut mengeluarkan notis sebanyak 465 dan menyita 57 buah motosikal terdiri daripada Yamaha Y15Y15ZR, Honda EX5 dan Yamaha 125Z.
“Penguatkuasaan strategik yang dilaksanakan secara sekatan jalan raya di laluan motosikal itu adalah bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kemalangan maut melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal,” ujar beliau.
Dalam memastikan kelancaran pergerakan pengguna jalan raya terutama dalam tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri, JPJ WPKL telah menguatkuasakan pematuhan peraturan jalan raya dengan memfokuskan kepada tujuh kesalahan yang dianggap punca kemalangan.
“Antaranya, tidak mematuhi isyarat lalu lintas iaitu lampu merah, tidak mematuhi had laju pemanduan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memandu di lorong kecemasan dan tidak memakai topi keledar atau tali pinggang serta memotong barisan,” jelas beliau.
Terdahulu, Operasi Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) itu dilakukan dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).– WILAYAHKU