SEBANYAK 102 unit kamera litar tertutup (CCTV) di lima kuarters kerajaan jenis pangsapuri di Putrajaya akan dipasang demi keselamatan dan keselesaan penghuninya.
Lima pangsapuri berkenaan ialah Fasa P18R12 dan P18R13 di Presint 18; Fasa P18R4 dan P18R8 di Persint 18; Fasa 1C di Presint 16; Fasa 7 dan Fasa 8 di Presint 9; dan Zon 6B dan Zon 3A di Presint 11.
Cadangan pemasangan CCTV kini sedang dalam pertimbangan Bahagian Pengurusah Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri untuk dilaksanakan secara berperingkat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) , Dr Zaliha Mustafa berkata sebagai permulaan, ke semua lif kuarters akan dipastikan lengkap dengan CCTV memandangkan lif adalah kawasan paling senstifi kepada vandalimse, jenayah dan juga kecelakaan dalam premis berstrata.
Katanya, BPH akan memberi keutamaan kepada kerja-kerja penggantian set lif baharu yang datang sekali dengan CCTV melalui inisiatif Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR).
“Inisiatif ini adalah selaras dengan visi Chase City yang didokong Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), di mana antara paksi tindakan yang digariskan adalah menjadikan Wilayah Persekutuan Putrajaya sebagai sebuah bandaraya pintar.
“Visi ini sudah mula menampakkan hasil apabila Perbadanan Putrajaya (PPj) berjaya merangkul ‘Penarafan Bandar Pintar Malaysia Tahap 2: Developing Smart City’ bersempena Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024,” katanya.
Zaliha berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr Mohd Radzi Md Jidin (Putrajaya) yang meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan status cadangan pemasangan CCTV di semua pangsapuri kuarters penjawat awam Putrajaya di bawah kendalian BPH serta penyenaraian CCTV sebagai sebahagian daripada aset berdaftar yang perlu diselenggara pengurus fasiliti bawah Perbadanan Putrajaya bagi meningkatkan keselamatan penduduk.
Dalam masa sama katanya, PPj sedang memohon peruntukan bagi pemasangan CCTV di laluan keluar dan masuk ke jalan utama dari kuarters penjawat awam, sama ada jenis pangsapuri ataupun jenis landed property, dan akan dilaksanakan sebaik sahaja peruntukan disalurkan.
“Buat masa ini, di seluruh Putrajaya, kita ada 531 unit CCTV yang telah dipasang dan diselenggara oleh PPj.
“Persatuan Penduduk di kuarters masing-masing juga boleh mengambil inisiatif sendiri untuk pemasangan CCTV melalui pihak pengurusan dengan kebenaran daripada BPH. Dalam hal ini, BPH membenarkan peruntukan penyelenggaraan digunakan untuk kerja selenggara CCTV yang dipasang atas inisiatif sendiri.
“ Kita harapkan dengan pemasangan CCTV di kuarters itu nanti, beberapa insiden membimbangkan yang pernah berlaku di kawasan bersama seperti kehilangan kenderaan di kawasan letak kereta, cubaan ragut,serta isu-isu sosial lain seperti pemberian makanan kepada kucing liar yang menyebabkan kekotoran di kawasan penghuni dapat dikurangkan,” katanya. – WILAYAHKU