LEBIH 10,000 pegawai kontrak bakal diserap ke jawatan tetap secara berperingkat sehingga tahun 2031, sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan kebajikan dan kestabilan tenaga kerja sektor awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, memaklumkan bahawa sejak dasar ini diperkenalkan pada 2016, 11,946 pegawai telah pun dilantik secara tetap, dan baki 10,134 pegawai lagi akan menyusul dalam tempoh enam tahun akan datang.
“Pegawai kontrak yang diserap ke jawatan tetap akan menerima peningkatan gaji yang setimpal serta caruman KWSP, yang akan membantu menjamin kesejahteraan kewangan mereka selepas bersara,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, kerajaan turut menetapkan bahawa pegawai yang berkhidmat sebelum atau pada 23 Oktober 2015 layak menikmati faedah persaraan tanpa perlu memenuhi syarat pengesahan perkhidmatan, seperti Program Transformasi Minda dan peperiksaan perkhidmatan.
“Langkah ini membuktikan komitmen kerajaan dalam menghargai sumbangan kakitangan kontrak dan memperkukuh tenaga kerja sektor awam secara menyeluruh,” katanya.-WILAYAHKU