BERSEMPENA sambutan Deepavali, Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak menganjurkan Deepavali Kondattam 2024 yang disempurnakan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
Diadakan di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB), hampir 2,000 tetamu hadir memeriahkan majlis tersebut yang turut dihadiri pemimpin masyarakat setempat termasuk wakil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ketua Biro Masyarakat India merangkap Naib Ketua PKR Cabang Bandar Tun Razak, V Jonathan berkata, pada majlis itu, seramai 1,000 orang menerima bantuan berupa wang tunai bagi memeriahkan lagi perayaan tahun ini.
“Tahun lepas kita dapat memberi kepada 500 orang tetapi tahun ini kita tingkatkan bilangan penerima kepada 1,000 orang. Kita berharap tahun depan ia (penerima bantuan) dapat ditingkatkan,” katanya ketika ditemui media sejurus selepas berakhir majlis tersebut.
Beliau berkata, selain bantuan kepada orang ramai, pihaknya juga memberikan sumbangan kepada pihak pengurusan dua kuil berupa RM5,000 bagi setiap rumah ibadat terbabit.
Terdahulu dalam ucapannya, Azman yang juga Pengerusi Keadilan, Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan berkata, pihaknya akan sentiasa berusaha menyantuni segenap lapisan masyarakat menerusi penganjuran program berkenaan.
“Ia juga menunjukkan keprihatinan pemimpin khususnya Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang sentiasa peka serta mengambil tahu rakyat di kawasan Parlimen ini,” katanya. – WILAYAHKU