PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi arahan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Sr Kamarulzaman Mat Salleh untuk menanam 100 pokok baharu bagi pokok yang terpaksa dipotong.
“Saya telah memberi arahan kepada Datuk Bandar iaitu bagi setiap pohon yang terpaksa dipotong, 100 pokok baharu wajib ditanam semula,” ciapnya di laman X pada Rabu
Arahan itu diberikan berikutan dua kejadian pokok tumbang disebabkan hujan lebat dan ribut di ibu negara dalam tempoh selang seminggu.
Dalam kejadian pada 7 Mei lepas, kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail telah meragut nyawa seorang lelaki dan mencederakan dua yang lain selain 17 buah kenderaan rosak.
Insiden sama turut berlaku pada Isnin (13 Mei) lalu di Jalan Pinang berhadapan Bangunan Kuawait Financial House yang turut melibatkan sebuah kenderaan PDRM yang bertindak sebagai konvoi Lead Car Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abdul Rauf Yusof selain tiga buah kenderaan awam terlibat dan lima buah motosikal awam.
Dalam kenyataan berasingan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa telah mengarahkan DBKL menambah baik Pelan Pengurusan Pokok Rendang dan menyediakan garis panduan baharu berkaitan pokok berusia atau berisiko tinggi yang dijangka siap pada Julai 2024 bagi mengelakkan insiden sama tidak berulang dalam jangka masa panjang. – WILAYAHKU