LEBIH 2,000 peluang pekerjaan ditawarkan sepanjang berlangsungnya Festival Idea Putrajaya anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula 27 hingga 29 November 2024.
Menurut KPT, peluang pekerjaan berkenaan akan ditawarkan melalui Karnival Kerjaya MADANI dengan kerjasama MYFutureJobs yang membabitkan lebih 100 majikan daripada pelbagai industri antaranya AirAsia, Standard Chartered, Gentari, Bank Simpanan Nasional dan Malaysia Aviation Group.
“Karnival berkenaan turut menyediakan perkhidmatan kaunseling kerjaya bagi meningkatkan peluang kejayaan dalam sesi temu duga.
“Temu duga secara terus turut ditawarkan bagi mereka yang berkelayakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, KPT memberitahu karnival yang julung kali diadakan itu akan memanfaatkan individu yang mencari pekerjaan serta membuka peluang kepada pelajar tahun akhir pengajian tinggi bagi meneroka peluang pekerjaan apabila tamat pengajian sekali gus meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan.
Justeru, KPT menggalakkan orang ramai untuk membawa bersama salinan resume yang telah dikemas kini, sijil dan dokumen berkaitan selepas membuat pendaftaran di laman sesawang https://eiscentre.perkeso.gov.my/careerfair/socsocareerfair/daftarjobseeker. – WILAYAHKU