Berita

100 judul buku akan diterjemah dalam tempoh lima tahun di bawah MoU Malaysia-China

- Diterbit 17 April 2025 10:41 AM MYT

MALAYSIA dan Republik Rakyat China memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang membuka lembaran baharu dalam kerjasama kesusasteraan dua hala, dengan pelaksanaan projek penterjemahan dan penerbitan 100 judul buku dalam tempoh lima tahun akan datang.

Majlis pertukaran MoU bersejarah itu berlangsung petang semalam dan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping, sempena lawatan rasmi Malaysia ke China.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, projek kerjasama ini dilaksanakan menerusi Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) bersama National Press and Publication Administration of the People’s Republic of China di bawah inisiatif Asian Classics Translation Programme.

“Sebanyak 100 judul buku melibatkan karya Sasterawan Negara, penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A Write Award), karya Malaysiana, koleksi klasik tempatan serta karya terbaik dari China akan diterbit dan diterjemah sepanjang lima tahun ini,” katanya dalam Facebook hari ini.

Menurut Fadhlina, inisiatif ini berupaya memperkukuh hubungan diplomatik antara Malaysia dan China menerusi diplomasi kesusasteraan yang menjangkaui sempadan bahasa dan budaya.

“Kita percaya kerjasama ini akan membuka ruang luas untuk pemahaman silang budaya, pertukaran intelektual dan penghargaan terhadap khazanah sastera kedua-dua negara,” katanya.

Kerjasama strategik ini merupakan antara beberapa perjanjian penting yang ditandatangani sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke China, yang terus memperkukuh hubungan dua hala antara Kuala Lumpur dan Beijing dalam pelbagai bidang.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas