Berita

10 premis perniagaan beroperasi tanpa lesen diambil tindakan

- Diterbit 22 November 2024 3:25 PM MYT

SEBANYAK 10 premis perniagaan dikesan menjalankan perniagaan tanpa lesen dalam operasi pihak berkuasa tempatan di sekitar Bandar Labuan.

Perbadanan Labuan (PL) dalam satu hantaran di laman Facebooknya berkata, pihaknya menerusi Jabatan Penguatkuasaan telah melaksanakan Operasi Banteras Aktivi Haram (BAH) yang memfokuskan aktiviti perniagaan tidak berlesen di sekitar Labuan.

Katanya, operasi yang dilaksanakan itu turut membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan antaranya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Agensi Dadah Kebangsaan (AADK), Sabah Electricity, Jabatan Bekalan Air.

“hasil daripada laporan dan aduan yang diterima mendapati lebih 10 premis perniagaan dikenalpasti menjalankan perniagaan tanpa lesen (Pengoperasian perniagaan tidak jelas).

“Hasil daripada operasi yang dijalankan sebanyak lima premis telah dikenakan tindakan kompaun di bawah Ordinan Perlesenan Perdagangan.

“Empat premis dikenakan tindakan sita melibatkan barang perniagaan yang dikenal pasti semasa operasi dijalankan sebagai bahan bukti dan siasatan lanjut,”katanya.

Sehubungan itu, PL akan terus komited meneruskan tindakan dan pemantauan dari masa ke semasa bagi memastikan premis- premis perniagaan yang beroperasi di pulau itu sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, pada operasi yang sama seramai dua individu telah diberikan surat Perintah Hadir JAWI bagi memberikan keterangan dibawah Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas