BAGI mengeratkan lagi silaturahim antara komuniti Bandar Tun Razak (BTR), buat julung kalinya Liga Bolasepak Veteran Komuniti MADANI-ESL Bandar Tun Razak diadakan bermula pada September sehingga Disember 2024.
Sebanyak 10 pasukan bakal bersaing untuk merebut gelaran juara pada kejohanan kali ini.
Liga ini juga menyaksikan penampilan semula beberapa bekas pemain kebangsaan yang pernah menyinari sukan bola sepak tanah air di era akhir 90-an antaranya Shahril Arsat yang mewakili BTR FC dan ramai lagi.
Pada Sabtu lalu, memasuki perlawanan ketujuh liga, menyaksikan pertembungan di antara pasukan BTR FC dan EX Milomikasa yang berkesudahan seri satu sama hasil jaringan Shahril Arsat dan Shamsul Rizal Zairi.
Sebanyak empat pasukan terbaik akan memasuki pusingan separuh akhir dan aksi final dijadual berlangsung pada hujung Disember ini di mana juara bakal membawa pulang piala pusingan Datuk Azman.
Terdahulu, liga ini adalah inisiatif daripada Pengerusi Komuniti MADANI Parlimen BTR, Hanif Lokmanal Hakim yang juga Pengurus Pasukan BTR FC dan mendapat sokongan penuh daripada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin. – WILAYAHKU