SERAMAI 10 pasangan pengantin terdiri daripada golongan asnaf, mualaf telah diraikan pada Majlis Walimatul Urus Perdana yang julung kali diadakan sempena Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Menurut Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, penganjuran julang kali diadakan itu ditaja sepenuhnya oleh MAIWP termasuklah perbelanjaan tempahan pelamin, busana pengantin dan jamuan makan dan minum.
Katanya, MAIWP telah memperuntukkan bantuan perkahwinan sebanyak RM57,000 kepada 10 pasangan pengantin terdiri daripada golongan asnaf dan mualaf di pulau itu.
“MAIWP menganjurkan secara besar-besaran kali ini adalah bersempena Karnival Sambutan 50 tahun MAIWP yang mana kita turut menganjurkan pelbagai aktiviti yang memberikan manfaat kepada masyarakat di Labuan khususnya kepada golongan asnaf,”katanya pada Majlis Walimatul Urus Perdana, di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, baru-baru ini.
Sementara itu, bagi salah satu pasangan pengantin, Edmond Naim menzahirkan penghargaan kepada MAIWP kerana memberikan peluang dan memudahkan urusan perkahwinannya.
“Saya dan isteri ingin mengucapkan terima kasih kepada MAIWP kerana memberikan peluang kepada kami untuk menyertai program ini untuk mendirikan rumah tangga.
“Walaupun saya baru memeluk agama islam (mualaf) namun saya merasa bangga dan kagum kerana menerusi majlis ini ianya dalam menyatukan diantara dua keluarga walaupun berbeza agama, bangsa dan sebagai.
“Ini adalah satu kenangan yang amat indah kepada saya dan pasangan,”katanya. – WILAYAHKU.