KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan satu kes positif cacar monyet atau mpox clade II baharu telah dikesan di negara semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata daripada 58 kes disyaki mpox yang telah dirujuk kepada KKM sepanjang tahun ini, satu kes telah disahkan positif mpox clade II pada 16 September 2024.
Tambah Muhammad Radzi, dengan itu juga, semua 10 kes di Malaysia sejak 26 Julai 2023 sehingga kini adalah daripada clade II sahaja.
“Pesakit tersebut merupakan seorang lelaki warganegara yang mula menunjukkan gejala demam, sakit tekak dan batuk pada 11 September lalu manakala ruam mula muncul pada 12 September.
“Pesakit tiada sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul, kini sedang dalam isolasi dan berada dalam keadaan yang stabil.
“Semua kontak bagi pesakit tersebut sedang dikenalpasti dan status kesihatan mereka akan dipantau mengikut tatacara kendali piawai (SOP) semasa yang ketat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, Jelas Muhammad Radzi, KKM telah mengaktifkan Bilik Gerakan mpox di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan pada 16 Ogos lepas bagi memantau situasi mpox serta menyelaraskan langkah-langkah kesiapsiagaan dan respon yang berkenaan. – WILAYAHKU