Berita

1.4 juta pencarum KWSP terima RM500

- Diterbit 10 Januari 2024 11:17 AM MYT

SEJUMLAH 1.4 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mula menerima insentif Caruman Tambahan Kerajaan berjumlah RM708 juta kepada ahli KWSP yang berumur antara 40 dan bawah 55.

Insentif ini diperuntukkan kepada individu yang mempunyai simpanan KWSP RM10,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 mereka setakat 24 Februari 2023.

“Insentif caruman RM500 one-off yang mula dikreditkan ini adalah seperti yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari 2023, bertujuan menggalakkan ahli KWSP yang mempunyai simpanan rendah dan menghampiri umur pesaraan untuk terus menyimpan serta mengukuhkan pengumpulan simpanan pesaraan mereka”, kata KWSP dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

KWSP berkata insentif tersebut sejajar dengan matlamat untuk meningkatkan simpanan dan menyumbang kepada matlamat yang lebih luas untuk membina masa depan kewangan yang berdaya tahan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas