Berita

1.139 juta kunjungi Labuan

LABUAN memiliki pelbagai tarikan tersendiri.
- Diterbit 9 Mac 2025 10:00 AM MYT
SEJUMLAH 1.139 juta pengunjung terdiri daripada pelancong dalam dan luar negara direkodkan berkunjung ke Labuan sepanjang tahun lalu, sekali gus mencatatkan peningkatan sebanyak 14.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Haryanty Abu Bakar, peningkatan jumlah kunjungan itu jelas menunjukkan Labuan semakin dikenali sebagai salah satu destinasi pelancongan.

Katanya pihak Tourism Malaysia menyasarkan Labuan bakal menerima 1.2 juta pengunjung sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

“Bagi menjayakan sasaran itu, pihak kami telah melaksanakan pelbagai usaha dengan mempromosikan pakej-pakej pelancongan di pulau ini dengan mengetengahkan konsep 5S.

“Ia merujuk kepada ‘Sun’, ‘Sand’, ‘Seafood’, ‘Shopping’ dan ‘Sport Tourism’ seperti ditetapkan oleh Perbadanan Labuan bagi merancakkan semula sektor pelancongan di Labuan,” katanya kepada Wilayahku.

Haryanty berkata pihaknya akan meneruskan untuk menawarkan program atau pakej Fly Borneo Volume 3 yang membabitkan tiga destinasi utama di Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Labuan.

Dalam pakej tersebut katanya Tourism Malaysia akan memasukkan lokasi-lokasi menarik yang terdapat di Labuan untuk dipasarkan atau dipromosikan ke peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Tambahnya, bagi merancakkan lagi industri pelancongan khususnya di Labuan, kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Tourism Malaysia meneruskan penawaran dua geran sokongan kepada pemain industri bagi mempergiat promosi produk pelancongan.

Katanya, dua geran yang ditawarkan adalah Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP) dan Geran Galakan Melancong (GAMELAN) untuk memberi fokus ke atas penganjuran program atau acara pelancongan oleh pihak swasta, pemain serta penggiat industri. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas