PERTEMUAN Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Naib Presiden Republik Indonesia, Gibran Rakabuming Raka mengukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Indonesia dalam beberapa sektor strategik.
Menurut Zahid, antara inisiatif dibincangkan pada pertemuan itu adalah mengenai kerjasama dalam Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan beberapa daerah di Indonesia, khususnya dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan teknikal.
“Perbincangan mengenai kerjasama dalam sektor halal turut dijalankan bagi mengenal pasti cabaran dan peluang yang boleh diterokai bersama.
“Selain turut meneroka peluang kerjasama dalam memperkukuh sektor francais di ASEAN dan membuka lebih banyak ruang untuk usahawan muda di kedua-dua negara.
“Kami juga menekankan pentingnya memperkasa belia Malaysia dan Indonesia melalui program pertukaran pelajar, keusahawanan sosial, dan inovasi yang akan membantu mereka menjadi penggerak utama dalam pembangunan kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebooknya.
Pertemuan itu turut disertai empat menteri kanan Republik Indonesia yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan dua hala ini.
Mereka adalah Menteri Koordinator Bidang Politik dan Keamanan,Budi Gunawan; Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan , Pratikno; Menteri Agama, Nasaruddin Umar serta Menteri Kelautan dan Perikanan, Sakti Wahyu Trenggono.
“Saya percaya hubungan erat ini, yang dibina atas ikatan sejarah, budaya dan politik ini akan terus memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara serumpun.
“Dengan semangat solidariti dan kerjasama, saya yakin bahawa Malaysia dan Indonesia akan terus maju bersama dalam pelbagai bidang,” katanya.- WILAYAHKU